Tuesday, April 25, 2017

Resepi Daging Dendeng dari Perak




Assalammualaikum!



Post kali ni RNS nak kongsi resepi daging dendeng. Asalnya, daging dendeng ni menjadi santapan turun-temurun keluarga diraja Perak. Mula-mula RNS merasa daging dendeng ni hasil air tangan mak saudara sebelah ayah. Memang sedap dagingnya lembut, manis. Kemudiannya, mama RNS belajar cara memasak dan sekarang diturunkan resepinya pada RNS, jadi boleh la kongsi kat sini. Resepi ni dah diubah suai sikit mengikut citarasa kami sekeluarga. Kalau anda google, macam-macam versi resepi ada. Apapun cara masaknya tetap sama. Cumanya, nak memasak daging dendeng ni sedikit 'renyah'. Tapi kalau dah sedap, semua sanggup! :)

Buat kawan-kawan SERATAS dorm F2-1 dan Prima U1 (geng MSU) pastinya dah pernah rasa daging dendeng ni, kan? Berebut meratah. Pada yang mintak resepi tu, minta maaf sangat-sangat lambat respons. Baru sekarang rajin nak update blog. Okay, tak nak celoteh banyak, jom cuba!

Bahan-bahan:

Daging bahagian batang pinang 1 kilogram
2 Bawang merah (bawang besar) ditumbuk atau kisar
Cili kering dikisar
Kicap manis
Kicap masin
Secubit asam jawa
Gula dan garam secukup rasa

Cara-caranya:

1. Rebus daging sehingga lembut. Tetapi jangan terlalu empuk (sebab kita nak tumbuk daging. kalau terlalu empuk, semasa tumbuk daging akan jadi hancur). Simpan air rebusan daging. Jangan buang!


2. Hiris daging nipis-nipis. Kemudian, tumbuk setiap hirisan tu. (Ini lah part yang paling 'renyah' tu. Akan berdentum la rumah korang jiran sebelah mendengar tumbuk daging haha.)


3. Gaulkan rata daging yang ditumbuk tadi dengan kicap manis.


4. Goreng daging yang diperap kicap tu sehingga rapuh. Jangan sampai hangus pulak ye! 

Part kuah. Ni paling senang, tak banyak bahan pun:


1. Tumis bawang merah yang dikisar/tumbuk tadi sehingga kekuningan.

 

2. Masukkan cili kering yang dikisar bersama air rebusan daging tadi.


3. Biarkan sehingga air kering dan cili pecah minyak.


4. Masukkan sedikit air asam jawa.


5. Masukkan kicap manis dan sedikit kicap masin untuk tambah rasa (lebihkan kicap manis). Tambahkan gula dalam 3 sudu besar (bergantung pada banyak mana anda letakkan cili kisar) dan garam secukup rasa.


6. Bila kuah dah hampir kering, masukkan daging yang dah digoreng tadi. Gaulkan sehingga rata beberapa minit, kemudian tutup api. Boleh siap dihidang!


Hidangan daging dendeng ni boleh diratah sahaja, dimakan bersama nasi putih, ketupat, lemang atau roti. :)

Cadangan hidangan lain bersama roti telur

*Nota tambahan: Kalau anda google, ada yang tambah bahan lain seperti serai, bawang putih dan halia. Ikut citarasa sendiri. Resepi yang RNS kongsi ni citarasa keluarga dan hidangan yang biasa RNS masak. :)
Sukatan bahan-bahan lebih kurang seperti dalam gambar. Cukup untuk hidangan 6 orang makan.

Selamat mencuba! Apa-apa boleh komen kat bawah ye. 



1 comment:

  1. Sis suka resepi cik, sbb sis jg tdk mggunakan bwg putih, serai n halia. Cuma mggunakan bwg merah dan cili kering shja semasa menumis.

    ReplyDelete