Saturday, March 5, 2011

#18 Tenangkan Hati Tatkala Peperiksaan Menghampiri

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Meskipun peperiksaan akhir semakin menghampiri, hati RNS tetap memujuk untuk menulis post kali ni. Mana tidaknya, RNS sering kali mendengar keluhan dan kegusaran daripada kawan-kawan yang mengatakan, "Ish, takutnya.. Final dah nak dekat.." Tak lekang juga soalan yang sering ditujukan kepada RNS, "Dah habis study semua chapter?"

Wahai sahabat,
Secara jujurnya, RNS sendiri turut merasakan kegetarannya. Fitrah bagi kita untuk rasa risau. Namun begitu, bagaimana pula cara kita untuk mengatasi kegelisahan yang beraja di hati? Adakah dengan mengajukan soalan, "Dah habis study semua chapter?" dapat menenangkan hati kita? Bukankah soalan yang kita ajukan pada orang lain ini membuatkan hati kita bertambah risau?

Pada pandangan RNS sendiri, kita semua tidak akan mampu untuk habis study biarpun sampai saat-saat akhir kita bernafas. Ketahuilah, ilmu yang kita miliki tidak akan mampu kita kuasai sepenuhnya kerana kita tidak akan sekali-kali dapat menjangkaui ilmu Allah. Justeru, janganlah kita terlalu risau apakah kita mampu untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan nanti. Biarlah kerisauan itu dalam keadaan sederhana. Bukankah kita telah berusaha setiap hari dengan mengikuti kuliah yang disampaikan oleh pensyarah? Kita juga turut menyelesaikan soalan-soalan tutorial bagi semua subjek yang kita pelajari.

Sekarang adalah masa yang sepatutnya kita belajar untuk menenangkan hati kerana hati yang sentiasa dalam ketakutan dikhuatiri akan menutup jalan kita menempuhi kejayaan. Cubalah sedaya upaya mengulang kaji secara tenang. InsyaAllah, ia mudah memantapkan pemahaman terhadap ilmu yang telah kita pelajari.

Berdoalah kepada Allah agar Dia meredhai segala ilmu yang kita tuntut selama ini. Apabila Allah meredhainya, yakinlah kita pasti dapat menghadapi tekanan menjawab soalan dengan bantuan-Nya. Ingatlah, Allah jualah yang memberikan kita ilham untuk mengeluarkan segala ilmu sewaktu peperiksaan. Betapa ramai  di kalangan kita yang tiba-tiba 'blackout' sewaktu menjawab soalan meskipun sudah berhempas-pulas mengulang kaji. Dengan izin Allah, janganlah kita termasuk orang-orang yang rugi.

Satu lagi perkara yang RNS ingin ingatkan untuk diri sendiri dan pembaca semua, biarpun apa keputusan yang kita peroleh nanti, kuatkanlah keyakinan bahawa Allah itu bersifat Maha Adil dan Maha Bijaksana. Jangan sekali-sekali kita menyebut, "Kalau aku .... mesti ..." Janganlah kita menjadi orang yang tidak bersyukur kepada-Nya. Allah berfirman yang bermaksud:

"......boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah 2: 216)

".....janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tidaklah orang yang berputus asa daripada rahmat Allah, melainkan orang kafir." (Surah Yusuf 12:87)

Sebagai seorang mukmin, sudah semestinya kita kembalikan semua kesulitan dan kemudahan kepada Allah, maka hati dan fikiran kita akan kembali menjadi jernih. Bukankah sesuatu yang datangnya daripada Allah akan kembali kepadaNya? Bahkan setiap ujian yang Allah berikan kepada hamba-Nya juga telah diukur mengikut tahap kemampuan hamba-Nya. Maka, hanya kepada Dialah kita bertawakal dan Allah amat suka pada orang-orang bertakawal kepada-Nya.

Akhir kata, RNS doakan semoga sahabat semua dapat menghadapi peperiksaan dengan bantuan dari-Nya yang Maha Pemurah. RNS nak kongsikan doa yang RNS selalu amalkan setiap kali ingin belajar dengan anda semua.

Maksudnya: "Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kefahaman para nabi, hafalan para rasul, dah ilham para malaikat yang dekat dengan-Mu."

Semoga maju jaya dalam peperiksaan ya! Ya Allah perkenankanlah...