Sunday, October 6, 2019

Doa Seorang Doktor


Sambil aku meneliti laporan kesihatan arwah, terbayang-bayang lagi saat hari pertama dia dilahirkan. 
Siapa sangka, kini dia yang mendahului ibu bapanya, kembali di sisi Tuhan yang menciptakan.

Aku kagum dengan ketabahan dan keredhaan kedua ibu bapamu. Selama 4 tahun mereka bersabar menanti kehadiranmu. Engkaulah cahaya mata pertama bagi mereka, Allah pinjamkan hanya sekejap cuma di dunia ini. Namun hakikatnya, engkaulah hadiah terbesar buat umi dan abi mu di akhirat kelak.

                     *                                       *                                     *                         
       
Setiap apa yang kita lalui, ada sesuatu yang Allah ingin ajarkan pada kita. Baik yang senang, mahupun yang payah. 
Kesenangan mengajar erti bersyukur. Kepayahan mengajar seorang hamba untuk bergantung harap pada Penciptanya.

Ya Allah, berikanlah aku keupayaan untuk melaksanakan tugasku dengan sempurna, ya Allah. 
Kerana sesungguhnya aku sama sekali tidak memiliki apa-apa keupayaan melainkan segalanya dengan KebesaranMu.

Aku memohon perlindunganMu, daripada menyakiti mana-mana pesakitku atas disebabkan kelemahanku, kelalaianku dan ketidaktahuanku, ya Allah. 

Jadikanlah anggota tubuh badanku ini,  yang Engkau berikan pada ku, cekap Dan cerdas untuk merawat sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan dariMu.

Akan aku sedaya upaya, dengan selemah-lemah daya yang ada, menghulurkan tenaga dan pengetahuanku untuk keringanan sakit mereka. Kerana sesungguhnya, Engkaulah yang memberi kesembuhan apa sahaja penyakit yang Engkau uji pada mereka.

Bukakanlah jalan untuk ku, agar aku kekal dalam perjuangan ini.
Perkenankanlah, wahai Tuhan yang Maha Mendengar segala isi hati.