Friday, September 25, 2015

Aku menjadi saksi

Tarikh: 20 September 2015, Ahad

Dear blog, 

Pada hari ini, Allah mengurniakanku peluang untuk menjadi saksi kepada dua hambaNya, mengikat janji melalui akad pernikahan. Bukannya aku tidak pernah menyaksikannya sebelum ini, tapi kali ini berbeza. Seolah-olah ia memberi ruang untuk aku membuka mata. Untuk aku sedar apakah erti sebenar satu ikatan perkahwinan.

Dalam perjalanan ke masjid pada pagi itu, aku menaiki kereta sepupuku yang baru sahaja menimang cahaya mata sejak 4 bulan yang lalu. Pada mulanya perjalanan begitu tenang. Tak berapa lama kemudian, puteri kecil kesayangan pasangan sepupuku ini mula merengek. Lapar mungkin. Si ibu menyua susu ke mulut comel si kecil. Namun, ditolaknya. Suara tangisannya bertambah kuat. Buat kami satu kereta berasa sedikit gelisah. Dipujuk ibunya, namun serba tidak kena. Jika diikutkan hati, mahu sahaja aku dodoikan si kecil itu. Tapi, melihat wajah ibu muda ini, aku faham dia juga sedang bersabar, dan dia lebih seribu kali mahir memujuk anaknya berbanding aku.
Dari situ, aku sedar tanggungjawab bergelar ibu bapa.

Tiba sahaja di masjid, kelihatannya keluarga sebelah pihak lelaki sudah pun memenuhi di ruang solat menantikan majlis akad. Kedua-dua belah keluarga bersalaman antara satu sama lain. Melihat wajah-wajah ceria yang tidak pernah aku kenal sebelum ini, membuatkan aku sedar. Perkahwinan itu bukannya setakat penyatuan dua hati, tetapi juga penyatuan dua kaum kerabat yang semestinya berbeza latar belakang kehidupan. Maka, kau bukan sahaja harus terima untuk belajar tentang pasanganmu, tetapi juga seluruh ahli keluarga pasanganmu. Baik buruknya, bukan untuk kau jaja, tapi untuk kau kenal dan sama-sama saling melengkapi.

Sebelum pengantin lelaki melafazkan "aku terima nikahnya.." Tok kadi mengingatkan semula pasangan pengantin mengenai apa itu perkahwinan dan apa itu penceraian. Dan aku juga turut mendengar. Diceritakan sedikit mengenai tanggunggjawab khusus untuk si suami apabila diberi amanah untuk menjaga si isteri. Dan juga diceritakan pula apakah tanggungjawab si isteri untuk patuh pada suami. Akhirnya, diingatkan kepada kami semua tentang penceraian. Ya, penceraian itu sesuatu yang dibolehkan di dalam Islam tetapi betapa ianya sesuatu yang paling tidak disukai oleh Allah. Apatah lagi apabila sudah mempunyai anak, maka penceraian itu akan membawa kesan kepada kehidupan mereka. 
Dari situ, aku berdoa agar Allah kurniakan pasangan ini jodoh yang kekal lama hingga ke syurga. Amin.

Setelah selamat dengan sekali lafaz, maka tertulislah nama mereka berdua sebagai pasangan suami dan isteri. Pada waktu itu, aku duduk di belakang pengantin perempuan. Aku terdengar ibunya berkata, "Ingat pesan mama, mulai sekarang apa-apa pun perlu dahulukan suami. Kalau apa-apa jadi kat mama, selagi tak mendapat izin suami, jangan sekali-kali datang jumpa mama. Syurga Syidah sekarang, pada suami." Aku pulak yang tersentuh dengar nasihat tu. Isk2.. T_T

Kesimpulannya, apa yang aku saksikan pada hari ini, sebenarnya satu pengajaran. Apa yang selama ini menjadi persoalan bagiku, buatkan aku tersedar dan muhasabah. Sebelum membuat keputusan untuk berkahwin, fikir sejauh-jauhnya. Apakah benar-benar kau sudah bersedia? Action speaks louder than words. You know yourself. Jangan banding-bandingkan diri dengan orang lain. Berkahwin bukan diukur pada tahap umur, tetapi dikira pada masa yang tepat dalam hidupmu. 

Sibukkan dirimu dengan amanahmu yang utama di waktu ini. Belajar. Graduate. Jadi doktor yang baik. Itu yang utama. Soal jodoh, pada masa ini berdoa sahaja. Kerana itulah kekuatanmu untuk ketika ini. Untuk kala ini. Bukannya itu bermakna kau tidak berusaha, tapi usahamu pada tika ini ialah dalam bentuk doa dan pengharapan kepadaNya. Itu yang kau upaya buat masa ini.  

Bagi aku, biarlah perancangan disusuli dengan persediaan. Maka sahabat sekalian, jangan tanya 'bila'. Tolong. Aku sendiri tak tahu jawapannya. Yang aku tahu, sekarang fasa untuk aku mempersiapkan diri. Kita sama-sama doakan. :)


p/s: Entah dari manalah datang keberanian aku untuk tulis topik ni... -__-  bye. 
  


      



No comments:

Post a Comment